Wednesday, 11 July 2012

Sekadar Coretan..

Assalamu'alaikum..

Sekian lama tidak bertandang ke blog sendiri, entah kenapa hari ini terdetik untuk melakar coretan di alam maya. Sedar tak sedar, sudah hampir setengah tahun kita melewati tahun 2012 ini dan pastinya banyak cerita yang terjadi. Disebalik kegembiraan akan hadir kesedihan, disebalik kejayaan akan hadir pula kegagalan. Apa pun yang berlaku, kita harus menempuhinya. Kerana inilah kehidupan. Takdir yang telah ditentukan Allah untuk kita semua.

Berbalik pada waktu yang berputar, dalam masa 10 hari lagi kita akan melangkah ke bulan yang mulia yang penuh keberkatan, Ramadhan Al-Karim. Tidak sabar untuk menempuhinya kerana ternyata bulan tersebut mempunyai seribu satu rahsia yang penuh dengan rahmat Allah. Perasaan dan keadaan yang berbeza dapat dirasai ketika melaluinya jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Jiwa menjadi tenang, penuh harapan agar segala amalan pada bulan tersebut di terima Allah SWT.

Namun, dalam kegembiraan menempuh Ramadhan pada tahun ini, perasaan sayu terasa dilubuk hati ini. Kehilangan ahli keluarga yang terdekat amat memilukan. Tambahan lagi, apabila mempunyai jumlah adik beradik yang tidak ramai. Jika dulu, arwah kakak sering meminta untuk menemani atau membelikannya sesuatu di pasar Ramadhan. Tapi kini keadaan itu tidak dapat dirasai lagi. Suaranya akan terngiang-ngiang ditelinga ini dan segala ingatan terhadapnya pasti terlintas difikiran di sepanjang Ramadhan nanti. Perasaan yang akan dialami sudah tentu berbeza. Tetapi, semua yang berlaku adalah kehendak Allah dan siapalah kita untuk menghalang apa yang ditentukanNya. Meredhai semuanya adalah tindakan yang terbaik. Kesedihan itu tidak mampu dielakkan namun ketabahan untuk menghadapinya itu perlu agar hati ikhlas menerimanya. Mudah-mudahan segalanya di permudahkan Allah. InsyaAllah.. Aaminn..

"Ya Allah, sampaikanlah kami semua ke bulan Ramadhan yang mulia dan terimalah segala amalan kami selama kami bernafas dibumiMu dan menjadi hambaMu yang lemah dan hina ini. Aamiin Ya Rabbal 'alamin.."


No comments:

Post a Comment