Sunday, 22 January 2012

Menyusuri Jalan Berliku

Assalamualaikum wbt...

Selamat tahun baru 2012..  Mungkin telah terlewat untuk memberi ucapan namun harapan masih tetap dalam genggaman. Menanti masa untuk dilepaskan agar harapan bertukar impian yang menjadi kenyataan. Meniti hari ini bukan mudah seperti memejamkan mata lantas bermimpi. Hidup ini penuh berliku dan dugaan menanti disetiap perjalanan yang bakal ditempuhi. Namun ketabahan dan kekuatan hati amat diperlukan agar diri tidak lemah dan tersungkur disetiap perjalanan yang akan dilalui.

Setiap yang bernyawa pasti akan mati dan itulah kenyataan yang telah ku hadapi pada penghujung tahun 2011. Kehadiran tahun 2012 diiringi titisan air mata tatkala menghadapi kenyataan kepulangan kakak yang tercinta ke rahmatullah pada 21 Disember 2011. Peristiwa tersebut telah memberi impak yang membawa perubahan besar dalam hidup ini. Tahun ini tidak mungkin akan sama seperti tahun yang lepas. Pemergian insan yang tersayang akan mengundang rasa kehilangan di hati dan keadaan juga akan berbeza. Walau pun begitu, aku dan keluarga tetap perlu meneruskan kehidupan dan mencuba untuk menerima segala ujian dariNya dengan redha dan ikhlas, InsyAllah..




Semua yang berlaku dalam hidup ini adalah takdir yang Maha Esa. Walaupun hidup ini kadang tidak seindah yang diinginkan dan jalan yang disusuri penuh berliku hingga kita buntu untuk memilih jalan mana yang harus dituju, namun aku percaya bahawa akhirnya pasti indah seandainya perjalanan hidup ini berlandaskan aturan Islam yang sebenar-benarnya. Mungkin kita kadang akan tersasar namun selagi kita berpegang pada ajaran Islam dan yakin padaNya, kita mampu kembali kepangkal jalan. Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Biarlah kita bermula semula dengan merangkak, bertatih dan terus berjalan hingga kita yakin destinasi yang ingin dituju. 

Menyusuri jalan yang berliku mungkin payah untuk ditempuh. Tapi, aku percaya bahawa seandainya hati masih meyakiniNya, dan fikiran masih mengingatiNya, tiada yang mustahil untuk dilalui. 

"Ya Allah.. berikan hambaMu ini kekuatan untuk menghadapi hidup ini. Bimbinglah aku dalam menyusuri hidup ini. Aku perlu pertolongan dariMu disaat ku menghadapi ujian dariMu. Aku perlukan petunjuk dariMu di saat ku harus menempuhi takdir hidupku. Ya Allah, tolong jangan pernah tinggalkanku disaat ku dalam kegelapan. Terangilah hatiku dan berikanlah rahmatMu ke atas diriku ini. Berkatilah hidupku Ya Allah.. Lindungilah kami hamba-hambaMu dari fitnah dunia fana ini.. Ya Rahman.. Ya Rahiim.. Aamiin..."


No comments:

Post a Comment